Rabu, 15 Mac 2017

Ismail puji semangat juang JDT

Penolong jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Ismail Ibrahim.

JOHOR BAHRU: Penolong jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Ismail Ibrahim menghamburkan pujian terhadap barisan pemain pasukan itu yang berjuang habis-habisan untuk melakar kemenangan 4-0 menewaskan Global FC pada aksi Kumpulan F Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. 

Beliau yang hadir pada sidang media selepas tamat perlawanan menentang kelab Filipina itu, menyifatkan perancangan yang dibentuk oleh barisan kejurulatihan skuad Harimau Selatan, diketuai Benjamin Mora berjaya menidakkan hasrat skuad kendalian Toshiaki Imai itu untuk mencipta kemenangan. 

Katanya, sewajarnya JDT meraih kemenangan pada aksi itu selepas setiap pemain yang beraksi menunjukkan komitmen tinggi dan konsisten sepanjang 90 minit perlawanan. 

"Mereka mempamerkan aksi terbaik apabila mengikut arahan taktikal yang dibentuk walaupun persiapan agak singkat selepas baru sahaja menghabiskan aksi pusingan ketiga Piala FA menentang UiTM FC, Sabtu lalu. 

"Kita tahu misi utama adalah tiga mata dan tidak boleh lagi keciciran dan kemenangan itu melonjakkan kembali JDT di tangga teratas selepas sekadar seri 1-1 menentang Magwe FC, baru-baru ini. 

"Apa pun, kami dalam barisan kejurulatihan JDT mengesan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki terutama di posisi serangan, seperti Ahmad Hazwan Bakri yang memiliki peluang terbaik tetapi gagal melakukan penyudah," katanya. 

Ismail berkata, dalam permainan bola sepak dengan corak pantas, menjaringkan gol amat penting dan apabila ia terhasil, barulah pergerakan akan lebih lancar kerana tiada gunanya menguasai permainan tetapi gagal melakukan jaringan. 

Beliau juga mengakui perubahan saat akhir dalam kesebelasan utama terpaksa dilakukan sebelum perlawanan itu selepas Mohd Afiq Fazail mengalami kecederaan dan diganti Amirul Hadi Zainal. 

"Saya ada bercakap kepada Amirul, ini adalah peluangnya untuk buktikan persembahan terbaik dan dia sahut cabaran saya apabila beraksi konsisten dan memberi 100 peratus komitmen, malah membantu Safiq Rahim dan Gabriel Guerra di jentera tengah," kata Ismail.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan