Halaman
Laman utama
JADUAL JDT 2017
BERITA SUKAN
Rabu, 15 Mac 2017
Sukar kawal pemain JDT: Toshiaki Imai
PEMAIN JDT, Hazwan Bakri (kiri) diasak pemain Global FC, Amani Manuel Santos ketika perlawanan Piala AFC 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru
JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Global FC, Toshiaki Imai nyata bengang dengan barisan pemainnya apabila gagal beri tentangan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas tewas 4-0 pada aksi Kumpulan F Piala AFC, malam tadi.
Imai yang berpengalaman selama 24 tahun selaku jurulatih tanpa berselindung mendedahkan anak didiknya seolah-olah `tidur' dan tidak menunjukkan karektor sebagai pemain bola sepak.
"Aksi babak pertama amat mengecewakan, mungkin mereka 'tidur' dan tidak beri tentangan langsung sebaliknya kerap membuka ruang kepada JDT menguasai perlawanan dan ia amat perit dengan kekalahan itu.
"Hanya pada babak kedua, barulah kami cuba bangkit dengan memiliki beberapa peluang terbaik namun penyudah tidak berkesan malah di hujung perlawanan lawan pula yang menambah jaringan.
"Saya tidak nafikan JDT adalah pasukan yang kuat dan rata-rata pemainnya bermain dengan taktikal menarik memaksa pemain saya gagal menghalang setiap gerakan yang mereka lakukan," katanya.
Imai juga menegaskan benteng pertahanannya tampak begitu rapuh terutama situasi satu lawan satu menyebabkan barisan penyerang JDT mudah menembusi pertahanan dan ambil kesempatan menjaringkan gol.
Sementara itu, kapten Global FC, Magish Bahadoran mengakui amat kecewa dengan kekalahan itu namun bertekad untuk bangkit apabila menerima kunjungan skuad Harimau Selatan pada aksi di Stadium Bola sepak Memorial Rizal di Manila, 5 Mei depan.
Katanya, kekalahan pertama itu bukanlah penamat buat Global FC sebaliknya akan bangkit lebih mantap dan berazam memastikan kemenangan pada aksi pusingan kedua nanti.
"Kami sudah kenal pasti kelemahan yang ada dalam pasukan itu dan saya tidak nafikan amat kecewa selepas tewas pada perlawanan itu. Ia bukan pengakhiran bagi kami sebaliknya bakal bangkit pada aksi seterusnya.
"Saya tidak dapat turun pada babak pertama selepas mengalami kecederaan di bahagian belakang namun apabila beraksi di babak kedua beberapa pemain terutama di posisi serangan dan tengah tampak kepenatan dan kami terima kekalahan itu," kata Bahadoran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Catatan Terbaru
Catatan Lama
Laman utama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan