Isnin, 27 Mac 2017

Jangan harap kejayaan segera

KUALA LUMPUR  – Ja­ngan terlalu ghairah mahukan perubahan dalam bola sepak negara
Itu nasihat Presiden Persa­tuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan kepada penyokong tempatan.
Kata Sathianathan, mengharapkan perubahan drastik dalam tempoh satu atau dua tahun daripada kepemimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah perkara yang mustahil kerana organisasi tersebut perlu diberi le­bih masa ke arah memperbaiki mutu bola sepak negara.
Malah Sathianathan turut menjelaskan layak ke Sukan Olimpik 2020 juga bukan satu sasaran yang terbaik buat pa­sukan kebangsaan berikutan sudah kesuntukan masa bagi membuat persiapan.
“Peminat bola sepak negara perlu sedar setiap keinginan daripada kepemimpinan baharu FAM harus realistik dan bagi saya jika kita meletakkan sasaran layak ke Sukan Olimpik 2024 nampak lebih sesuai berbanding 2020.
“Saya percaya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama kepemimpinan baharu akan melakukan pembaharuan namun mereka wajar diberikan masa bagi mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Kongres FAM ke-53 semalam menyaksikan perubahan dalam barisan kepemimpinan badan induk tersebut dengan Tunku Ismail disahkan sebagai presiden bagi penggal 2017-2021.
Malah, Tunku Ismail turut mengumumkan jurulatih baharu skuad kebangsaan iaitu bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez manakala Datuk Ong Kim Swee bakal melatih skuad Bawah 22 (B22) tahun negara.
Dalam pada itu, Sathianathan ketika diminta mengulas berhubung keputusan Tunku Ismail melakukan pertukaran drastik dalam kejurulatihan skuad kebangsaan berkata, Kim Swee adalah pilihan yang tepat untuk mengendalikan skuad Sukan SEA.
“Pemilihan Kim Swee sebagai pengendali skuad remaja adalah tepat kerana Tunku Ismail tahu bahawa pemain B22 lebih selesa berlatih bersama jurulatih tersebut.
“Mario Gomez pula mempunyai pengalaman bersama pemain JDT yang kebanyakannya ialah pemain kebangsaan dan saya percaya tiada masalah untuk dia membimbing skuad negara dengan baik,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan