Jumaat, 14 April 2017

FAM GUNA PENGADIL JEPUN

Elak kontroversi termasuk insiden penyokong Kelantan mengamuk.

FAM mahu guna khidmat pengadil luar negara


KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) untuk menggunakan khidmat pengadil luar negara bagi mengadili perlawanan besar dan penting selepas ini.


Keputusan itu diambil badan induk bola sepak negara itu susulan laporan beberapa mutu pengadilan yang dilihat kurang tepat sehingga menimbulkan kontroversi termasuklah insiden yang berlaku pada aksi antara Kelantan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam. 

Presidennya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, langkah terbabit perlu diambil bagi mengelak masalah sama berulang sehingga banyak pihak menuding jari selain membidas tanggapan penyokong bola sepak tempatan yang sering menuduh JDT 'membeli' pengadil untuk meraih kemenangan. 

"Saya sudah mengarahkan pihak Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk melihat semula perjanjian yang kami ada dengan JFA bagi membolehkan khidmat pengadil luar digunakan untuk perlawanan besar dan penting. 

"Jika ada yang mengatakan JDT menang kerana saya adalah Presiden FAM, saya sudah memenangi tujuh piala buat JDT dan melawan sistem sebelum menjadi Presiden FAM sebelum ini, " katanya menerusi akaun Facebook, Football Association of Malaysia (Official), hari ini. 

Sementara itu, ketika diminta mengulas mutu pengadilan antara aksi Kelantan bertemu JDT, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh berpendapat pengadil perlawanan, Mohd Nazmi Nasaruddin sudah membuat setiap keputusan pada perlawanan terbabit dengan tepat. 

Ini kerana katanya, pengadil perlawanan memiliki sudut pandangan jauh lebih baik berbanding penyokong membolehkan mereka membuat keputusan sewajarnya selepas meneliti setiap insiden dengan baik.

"Setiap pengadil perlu bergerak mengikut pergerakan bola kerana mereka perlu berada paling hampir dengan kedudukan bola. Jadi mereka dapat melihat insiden dengan jelas termasuklah memberikan sepakan penalti mahupun melayangkan kad merah.

"Ini berbeza berbanding penyokong yang hanya ada satu sudut untuk melihat insiden yang berlaku. Apapun, kita perlu menghormati setiap keputusan yang sudah diambil oleh pengadil," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan