Isnin, 10 April 2017

JDT pesta gol belasah Melaka United

PEMAIN JDT, Gabriel Miguel Guerra (tengah) meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) berpesta gol membelasah Melaka United (MU) 7-0, pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, dekat sini, malam tadi.
Kemenangan besar itu sekali gus membantu skuad Harimau Selatan melonjak ke tangga ketiga liga hasil himpunan 17 mata, ketinggalan dua mata di belakang Pahang selaku pendahulu dan Kedah, di tempat kedua.
Tanda-tanda JDT berpesta gol di laman sendiri terserlah sejak wisel permulaan lagi.
Tuan rumah berjaya mencipta jaringan pada minit ketujuh selepas gerakan dimulakan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham sebelum dilorongkan kepada Gabriel Guerra yang merembat menewaskan penjaga gol, Mohd Fazli Paat.
Bagaikan ingin menebus dua kekalahan pada aksi Piala FA dan Piala AFC, skuad Harimau Selatan nyata menguasai perlawanan dan sering mengasak ke kubu skuad kendalian Eric Williams yang terpaksa bertungkus lumus mengekang setiap asakan anak didik Benjamin Mora.
Hasil kerja keras tuan rumah yang terus mengasak ke kubu lawan, gol kedua berjaya dijaringkan pada minit ke-18 selepas bola umpanan Gonzalo Cabrera dibiarkan Ahmad Hazwan Bakri yang membuka ruang kepada Safiq Rahim untuk mudah menolak bola menerjah jaring.
Ketika aksi memasuki minit ke-23, gol ketiga terhasil buat tuan rumah selepas bola umpanan Safiq tepat kepada Amirul Hadi Zainal yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan Mohd Fazli.
Benteng pelawat nyata begitu rapuh apabila tuan rumah mudah menambah jaringan pada minit ke-34 selepas pemain gantian Azamuddin Akil pantas melorongkan bola tepat kepada Cabrera yang menolak bola terkena tiang gol kanan sebelum masuk.
Tidak sampai seminit ketika aksi babak kedua bersambung, gol kelima menjelma buat tuan rumah selepas bola hantaran Guerra membuka ruang untuk Azammudin yang merembat menewaskan Mohd Fazli.
Safiq mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-59 untuk meletak tuan rumah selesa dengan jaringan 6-0 selepas mudah menyudahkan hasil umpanan Cabrera yang langsung tidak dikawal pertahanan
Tindakan Godwin Brago mengasari Azrif Nasrulhaq di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil perlawanan, Razlan Jefri Ali tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-88 dan Safiq yang mengambil sepakan itu mudah mencipta jaringan untuk melakar hatrik pertama pada saingan liga musim ini.
PEMAIN JDT, Gonzalo Gabriel Cabrera (11) meraikan jaringan ketiga bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin
PEMAIN JDT, Safiq Rahim (tiga dari kri) diasak oleh pemain Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru
PEMAIN JDT, Gopinathan Ramanchandra (dua dari kanan) diasak oleh pemain Melaka United, Muhd Fauzi Rozlan (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru
PEMAIN JDT, Gabriel Miguel Guerra (tiga dari kiri) diasak pemain Melaka United, Mohd Faizal Muhamad (dua dari kiri) pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan