Khamis, 13 April 2017

JDT rampas takhta Liga Super, tewaskan Kelantan 3-2

Penjaga gol JDT Mohd Farizal Marlias (kanan) berjaya menyelamatkan gawang golnya daripada pemain Kelantan Mohamad Ghaddar (tengah) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi 

KOTA BARU, 13 April — Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kelantan 3-2 pada aksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam tadi, sekali gus merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Super.
Kemenangan itu melonjakkan JDT dua anak tangga ke takhta liga selepas mengumpul 20 mata, mengetepikan Pahang dan Kedah yang masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga dengan 19 mata.
Pada aksi malam tadi, Kelantan bermula garang apabila penyerang importnya, Mohamad Ghaddar menghadiahkan gol pertama pada minit kelima perlawanan.  Kelantan terus menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila Mohamad Ghaddar melebarkan kedudukan apabila menjaringkan gol kedua skuad The Red Warriors pada minit ke-15.
Kedudukan itu, bagaimanapun langsung tidak mematahkan semangat pemain JDT apabila berjaya menjaringkan gol pertama, hasil sepakan percuma Safiq Rahim pada minit ke-20.
Pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Gabriel Migual Guerra untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-29.
Pengadil Md Nazmi Nasaruddin menghadiahkan penalti kepada JDT selepas Khairul Fahmi bertindak mengasari Gonzalo Gabriel Cabrera dalam kotak penalti.  Seminit kemudian, JDT terus menambah derita pasukan Kelantan apabila Cabrera menjaringkan gol ketiga pasukan pelawat.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Mohammad Qayyum Marjoni Sabil dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas bertindak mengasari Guerra.
Kedudukan itu merencatkan percaturan Kelantan untuk kedudukan 2-3 berpihak kepada JDT kekal sehingga ke wisel penamat.
Aksi malam tadi merupakan perlawanan tertunda antara kedua-dua pasukan yang sepatutnya berlangsung pada 4 Februari lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan