Rabu, 19 April 2017

JDT tak ambil mudah Beoungket Angkor FC

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) enggan mengambil mudah pertembungan menentang Beoungket Angkor FC pada aksi pusingan kedua Kumpulan F Piala AFC di Stadium Nasional Olimpik di Phnom Penh, Kemboja, . 

Walaupun pada aksi pusingan pertama skuad kendalian Benjamin Mora mudah menewaskan anak didik John McGylinn 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 21 Februari, namun itu cerita lama dan kelab dari Kemboja itu bakal tampil dengan corak permainan berbeza. 

Mora perlu membentuk barisan mantap bukan sahaja untuk pertembungan saingan Piala AFC tetapi kesebelasan terbaik bagi mengharungi aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Pahang di laman sendiri, Ahad ini. 

"Kami ada dua misi getir pada minggu ini, pertama mencari tiga mata apabila berdepan Beoungket Angkor FC dan selang beberapa hari kami akan berdepan Pahang dalam usaha memburu kemenangan tatkala ketinggalan 1-3 pada aksi suku akhir pertama. 

"Bagi pertembungan menentang kelab dari Kemboja itu, saya tidak dapat menggunakan khidmat Amirul Hadi Zainal yang digantung satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning dan tempatnya akan digantikan sama ada Nazmi Faiz Mansor atau Shakir Shaari. 

"Ahmad Hazwan (Bakri) yang tidak diturunkan sejak dua perlawanan lalu akibat kecederaan, kini tampak pulih sepenuhnya dan mungkin berada dalam kesebelasan utama," katanya.

 Mora menegaskan skuad Harimau Selatan sudah berada di Phnom Penh sejak empat hari lalu dan turut membawa 23 pemain bagi menjalani sesi latihan bukan sahaja untuk saingan Piala AFC tetapi juga persiapan menentang Pahang, nanti. 

Beliau berkata, beberapa pemain akan direhatkan bagi memastikan mereka bersedia untuk aksi Piala FA dan ia penting bagi memburu slot ke separuh akhir malah kesebelasan terbaik juga akan dibentuk apabila berdepan Beoungket Angkor FC. 

"Saya kena bijak untuk membentuk skuad yang seimbang bagi aksi Piala AFC dan Piala FA malah persiapan berjalan seperti biasa kerana ia penting bagi mengekalkan momentum. "Apa pun kami harus berhati-hati dan turun dengan strategi lebih ampuh kerana kemenangan amat penting pada dua aksi itu nanti dan juga harus pemain beraksi dengan tenang tanpa membuat kesilapan mudah," kata Mora.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan