Sabtu, 1 April 2017

Pelantikan Tunku Ismail jadi pemangkin pelesenan kelab

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John, yakin lebih banyak pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) bakal memenuhi kriteria pelesenan kelab yang ditetapkan badan induk itu susulan pemilihan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru. 

Buat masa ini, JDT merupakan satu-satunya kelab yang sudah memiliki lesen kelab AFC di Malaysia sedangkan mulai 2018, semua pasukan diwajibkan ada lesen jika mahu beraksi dalam kejohanan anjuran AFC. 

Justeru, Windsor berharap dengan hadirnya Tunku Ismail, situasi itu akan mempercepatkan langkah pelesenan kelab dalam kalangan pasukan di Malaysia. 

Baginya, tiada calon lain yang layak selain Tunku Ismail kerana beliau sudah ada model tersendiri di Johor Darul Ta'zim (JDT) yang boleh dijadikan contoh. 

"AFC berharap lebih banyak kelab yang mendapat kelulusan pelesenan ini kerana ini adalah tanda aras yang telah kami tentukan untuk mereka mencapai status kelab sebenar. 

"Hanya kerana mempunyai pasukan yang bersaing dalam liga, bukanlah bermakna ia sebuah kelab kerana maksud kelab adalah lebih besar berbanding pasukan. 

"Menerusi pelesenan kelab, ia akan membantu mereka," katanya. 

Mengenai status terkini perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 di antara Korea Utara dan Malaysia, Windsor mengesahkan masih belum ada sebarang perkembangan terkini. 

Ini berikutan sikap Korea Utara yang masih membisu berhubung cadangan stadium berkecuali. 

Jika tiada sebarang jawapan sehingga 14 April ini, AFC akan membuat keputusan sendiri di mana perlawanan itu akan diadakan. 

"Buat masa ini, kami sedang menanti jawapan mereka. 

"Minggu depan, mereka akan menganjurkan perlawanan kelayakan Piala Asia Wanita di negara mereka, dan kami akan menggunakan peluang itu untuk memantau penganjurannya dari segi visa dan keselamatan.

"Penganjuran perlawanan di Pyongyang adalah bergantung kepada situasi diplomatik di antara kedua-dua negara. 

"Jika tiada perkembangan positif, perlawanan akan terus diadakan di gelanggang berkecuali."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan