Selasa, 16 Mei 2017

Piala AFC: JDT akan berjuang mati-matian

Johor Darul Ta'zim (JDT) akan menampilkan barisan terbaik untuk berdepan Ceres–Negros FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFC zon Asia Tenggara di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, esok.

Walaupun barisan utama yang bakal diturunkan belum didedahkan, kesemua pemain JDT kini berada dalam keadaan 100 peratus terbaik untuk menerima kunjungan kelab dari Filipina itu.

"Kami ingin meneruskan perjalanan kami, kalau boleh mahu ke final pada tahun ini. Kami akan turun habis-habisan esok dan kami akan menurunkan barisan terkuat," kata penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim.

Sudah pasti, objektif utama juara edisi 2015 itu adalah mendapatkan seberapa banyak bekalan gol untuk dibawa ke perlawanan timbal balik di laman Ceres, 31 Mei nanti, demi memastikan slot final menjadi milik mereka.

"Kami akan beraksi di Larkin esok. Kami tidak akan memberi sebarang ruang buat lawan agar kami dapat ke Filipina dengan lebih tenang. Saya harap kami akan dapat mara ke perlawanan akhir," kata pemain pertahanan yang juga kapten JDT, Marcos Antonio.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan