Aidil dan Kunanlan antara empat pemain JDT yang membuat pusingan ‘U’ dengan bersetuju untuk kembali menyarung jersi Harimau MALAYSIA biarpun mengumumkan persaraan tahun lalu atas alasan mahu memberi laluan kepada pemain muda.
Selain Aidil, turut menyuarakan hasrat untuk keluar daripada persaraan adalah kapten JDT, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal.
“Sejujurnya saya tidak kisah dengan kritikan dan suara sumbang penyokong yang mempersoalkan keputusan saya dan rakan-rakan lain mengubah fikiran untuk kembali menyarung jersi kebangsaan. Mungkin segelintir sahaja yang berkata begitu dan ada juga yang memberi sokongan.
“Kami juga bersedia jika diperlukan oleh pasukan tetapi semua keputusan bergantung kepada jurulatih (baharu) Mario Gomez.
“Pedulikan apa yang orang mahu kata, janji apabila diperlukan kami memberi aksi terbaik untuk negara. Saya percaya pengalaman yang dimiliki mampu dikongsi dengan pemain-pemain muda lain demi kebaikan skuad kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Aidil, 30, dia tidak menafikan dia mengambil keputusan untuk bersara daripada skuad kebangsaan kerana ingin memberi peluang kepada pemain muda mewakili negara, namun mengubah pendirian itu setelah mengadakan pertemuan dengan presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Keempat-empat bintang Harimau Selatan itu mengumumkan persaraan secara mengejut secara beramai-ramai pada Julai tahun lalu.
Ekoran persaraan tersebut, mereka terlepas mewakili negara pada Piala AFF Suzuki 2016 di Yangon, Myanmar yang menyaksikan perjuangan skuad Harimau Malaysia tersekat di peringkat kumpulan.
Sementara itu, pertahanan kanan JDT, S. Kunanlan, 30, senada dengan Aidil dan menyifatkan sebagai seorang pemain profesional, mereka harus terbuka menerima sebarang kritikan daripada penyokong.
“Tidak kisah dengan dakwaan penyokong yang kononnnya kepulangan kami disebabkan Tunku Ismail menjadi Presiden FAM.
“Memang benar keyakinan kami untuk kembali menyarung jersi kebangsaan disebabkan TMJ sendiri berjumpa dengan kami.
“Beliau menasihati kam serta menjelaskan perubahan-perubahan yang bakal dilakukan.
“Saya cukup teruja seandainya dipilih mewakili negara semula.
“Apa yang menarik minat lagi adalah bersama-sama merasai perubahan baharu yang bakal dilakukan dalam FAM seperti dijanjikan TMJ,” katanya