Jumaat, 14 April 2017

ALISTAIR EDWARD BIDAS PIHAK PERSOAL "GENTLEMEN'S AGREEMENT" JDT

Pengarah Sukan JDT, Alistair Edward hari ini membidas sesetengah pihak yang tidak memahami perjanjian “Gentlemen’s Agreement” yang dimeterai di antara JDT dan beberapa pasukan lain di Liga Malaysia.
Dalam satu entri di laman Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers, Alistair Edward memberi penjelasan membabitkan perjanjian yang melibatkan perpindahan  empat pemain daripada kelab JDT pada awal musim Liga Malaysia 2017.
Amri Yahya (Melaka United), Safee Sali (PKNS) serta Jazasrin Jamaluddin dan Nazrin Nawi (Perak) berpindah daripada JDT dengan “Gentlemen’s Agreement” atas sebab-sebab tertentu yang berkaitan dengan bayaran perpindahan.
Amri Yahya yang menyertai JDT pada musim 2014 berpindah ke Melaka United pada musim ini setelah kontrak beliau tamat dengan juara AFC 2015 itu musim lalu.
Bagaimanapun, disebabkan Melaka United tidak mampu untuk membayar gaji penuh kepada Amri, JDT mengambil inisiatif untuk membayar separuh daripada gaji Amri di Melaka United.
Sebagai balasan, JDT dan Melaka United mempunyai perjanjian untuk tidak menurunkan Amri Yahya dalam perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan.
Perjanjian sama turut dilakukan untuk 3 pemain lain yang bersama Perak FA dan pasukan PKNS.
Perpindahan Jasazrin Jamaluddin dan Nazrin Nawi ke Perak F.A dilaporkan melibatkan yuran perpindahan berjumlah RM1.2 juta.
Bagaimanapun, Perak F.A tidak dapat memenuhi bayaran dan meminta jumlah tersebut dikurangkan kepada RM400,000.
JDT bersetuju untuk meneruskan perpindahan kedua pemain tersebut dengan syarat yang sama pada Amri Yahya di Melaka United.
Safee Sali yang dilepaskan ke PKNS musim ini turut dilaporkan mengalami situasi yang sama dengan Jasazrin dan Nazrin di Perak F.A.
PKNS hanya mampu melunaskan separuh daripada yuran perpindahan yang dipinta oleh JDT.
Perjanjian secara “Gentlemen’s Agreement” tersebut menyebabkan kempat-empat pemain tidak dapat diturunkan oleh pasukan masing-masing ketika menentang JDT dalam perlawanan Liga Super, Piala F.A dan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, Alistair Edward menjelaska perjanjian “Gentlemen’s Agreement” itu akan terbatal jika pasukan-pasukan tersebut melunaskan pampasan sepertimana yang terkandung dalam perjanjian awal.
Gentlemen’s Agreement” bukanlah satu perjanjian yang asing dalam bola sepak Eropah.
Gentlemen’s Agreement” kebanyakannya melibatkan perpindahan pemain secara pinjaman. Bagaimanapun, ia turut diamalkan oleh kelab di Eropah untuk perpindahan tetap.
Tim Howard (Man Utd ke Everton) dan Steve Kaaba (Sheffield United ke Watford) adalah antara perjanjian tetap yang memasukkan “Gentlemen’s Agreement” ke dalam klausa perpindahan.
Di dalam kes melibatkan keempat-empat bekas pemain JDT ini, keberadaan mereka di pasukan turut disamakan seperti klausa yang diamalkan di Eropah sehinggalah pampasan penuh dibayar kepada kelab asal, JDT.
Buat masa ini, JDT masih menjadi parents club untuk pemain-pemain tersebut sehingga kontrak mereka dengan JDT tamat ataupun ditebus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan