Sabtu, 8 April 2017

JUNIOR ELDSTAL BEREHAT PANJANG, MUAT NAIK STATUS MENYENTUH PERASAAN

Pemain tengah pasukan JDT, Junior Eldstal meluahkan perasaan kecewanya apabila disahkan terpaksa berehat panjang akibat kecederaan “slip disc”yang dialaminya.
Dalam entri di laman rasmi Facebook Junior Eldstal, beliau mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan situasi terkini kecederaan yang dialaminya.
Cabaran fizikal dan mental
“Dua musim terakhir adalah sesuatu yang sangat mencabar secara fizikal dan mental buat diri saya. Deretan kecederaan datang satu persatu.”
“Usaha keras untuk memastikan diri cergas dari kecederaan, hanya dikecewakan dengan kecederaan lain yang datang menimpa. Tiba masanya untuk menjelaskan kepada umum situasi diri saya”, demikian luahan pemain kacukan Sweden- Malaysia ini.
Kecederaan berulang itu menyakitkan!
Menurut Junior, beliau sering tertanya-tanya mengapa kecederaan sering menimpa dirinya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengelakkan ianya daripada berlaku.
Junior berpendapat semua pihak termasuk DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) patut jelas akan keadaan sebenar dirinya.
Ini mendorong Junior Eldstal ke Singapura untuk berjumpa dengan doktor pakar baru-baru ini.
Hasil MRI yang dilakukan di Singapura, doktor mengesahkan Junior mengalami 2 “slip disc” di bahagian bawah belakang dan 1 “slip disc” di tulang vertebra di bahagian leher.
Junior Eldstal bermain bola sepak dengan kecederaan ini tanpa dikesan terlebih awal selama 2 tahun.
Laporan pakar di Singapura turut mendedahkan kecederaan yang dialami oleh Junior turut mengancam karier profesional beliau.
Untuk membolehkan beliau pulih sepenuhnya, Junior harus mengikuti proses pemulihan secara intensif selama 3 sehingga 6 bulan.
Laporan pakar juga menyatakan kecederaan yang dialami beliau sekarang adalah punca sebenar kepada deretan kecederaan lain yang dialaminya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Eldstal: “Cintaku kepada bola sepak tetap kuat”
Dalam entri tersebut, Junior turut menafikan bahawa beliau sudah hilang minat kepada sukan bola sepak.
“Sukan ini adalah kehidupan saya. Saya bermula daripada bawah. Tanpa peluang yang diberi, saya tidak akan berada di mana saya berada sekarang. Saya hanya mahu kembali bermain bola sepak.”
“Niat saya ialah untuk menyarung jersi kelab paling berjaya dan profesional di negara ini serta menyertai skuad kebangsaan jika dipanggil untuk berbuat demikian.” Tulis Junior Eldstal dalam entri tersebut.
Junior Eldstal berjersi No.25
“Deretan kecederaan yang saya alami telah mengecewakan ramai pihak di JDT. Ini termasuklah DYAM TMJ yang walaupun turut diselebungi kekecewaan, tetap bersikap profesional dan adil kepada saya.”
“Saya berharap boleh duduk bersama pihak pengurusan JDT dan DYAM TMJ untuk merencanakan pelan pemulihan untuk saya dalam masa terdekat.”
“Pelan pemulihan kepada kecederaan yang saya alami haruslah mendapat kebenaran kelab terlebih dahulu”.
Semoga cepat sembuh Junior Eldstal!
Kemunculan terakhir Junior Eldstal bersama JDT pada musim ini adalah ketika membantu JDT menewaskan Pahang 3-2 di Larkin dalam saingan Liga Super Malaysia, awal Mac lalu.
Kelibat Junior Eldstal di Liga Malaysia bermula bersama Sarawak pada musim 2013.
Pemain kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini menyertai JDT pada musim 2015 setelah persembahan cemerlangnya bersama skuad Bujang Senang memikat jurulatih JDT pada masa itu, Bojan Hodak.
Pemain dengan ketinggian 1.91 meter ini memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan kejurulatihan sukan dan menerima anugerah dari British Council Alumni Awards yang diadakan baru-baru ini.
Kami di disini mengharapkan agar Junior Eldstal segera pulih dari kecederaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan