Jumaat, 14 April 2017

MENGAPA GABRIEL GUERRA DAN S. KUNANLAN SAH DITURUNKAN KETIKA MENENTANG KELANTAN?

Susulan kemenangan 3-2 JDT menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu pada 12 April 2017 lepas, ramai peminat bola sepak tempatan secara amnya dan penyokong Kelantan secara khususnya mempunyai soalan kepada pengelola liga, Football Malaysia LLP.
Tak cukup dengan dakwaan bahawa pengadil perlawanan, Muhd Nazmi Nasharudin bertindak berat sebelah, beberapa kumpulan peminat bola sepak tempatan kemudiannya mempersoalkan keputusan JDT menurunkan Gabriel Guerra dan S. Kunanlan dalam perlawanan tersebut.
Latar belakang penangguhan perlawanan
Untuk pengetahuan anda, perlawanan Kelantan vs JDT pada 12 April 2017 lepas merupakan perlawanan ke-3 Liga Super (LS3) yang dijadualkan semula.
Perlawanan ini yang pada mulanya dijadualkan berlangsung pada 4 Februari 2017 ditangguhkan oleh FMLLP atas sebab ‘agenda nasional’ selepas JDT dijadualkan beraksi menentang Gamba Osaka dalam play-off AFC Champions League 2017 pada 7 Februari 2017.

JDT tewas 0-3 kepada tuan rumah, Gamba Osaka dalam perlawanan tersebut.
Penangguhan perlawanan ini menimbulkan rasa tak puas hati bekas Pengerusi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan sebarang penundaan memerlukan permohonan 14 hari lebih awal.
Guerra dan Kunanlan tak boleh bermain?
‘Isu’ Gabriel Guerra dan S. Kunanlan yang tak sepatutnya diturunkan ketika menentang Kelantan pada 12 April 2017 tempohari ditimbulkan oleh beberapa kumpulan peminat bola sepak tempatan dan mula menjadi viral di media sosial sejak semalam.
Menurut mereka Gabriel Guerra tidak layak diturunkan kerana pada tarikh asal LS3 (4 Februari 2017), penyerang kelahiran Argentina ini masih bergelar pemain JDT II.
S. Kunanlan pula dikatakan tidak layak diturunkan kerana menerima kad merah (2 kad kuning dalam perlawanan sama) ketika menentang Kedah dalam aksi Piala Sumbangsih 2017.
Persoalannya sekarang; adakah isu yang ditimbulkan ini ada kebenarannya?
Beza penangguhan (postponement) dan penghentian (abandonment)
Untuk menjelaskan isu Guerra dan Kunanlan yang boleh diturunkan ketika menentang Kelantan, kita perlu tahu beza antara perlawanan yang ditangguhkan (postponement) dengan perlawanan yang dihentikan (abandonment).
(i) Perlawanan yang ditangguhkan (postponement)
Perlawanan belum dimulakan. Boleh memakai mana-mana pemain yang sah diturunkan pada tarikh baru perlawanan.
Contoh: Perlawanan A vs B sepatutnya dilangsungkan pada Mei 2017. Tetapi ia ditangguhkan ke tarih baru, iaitu Julai 2017. Jendela perpindahan pemain pula dibuka pada Jun 2017.
Pasukan A dan B boleh menurunkan pemain yang baru dibeli semasa jendela perpindahan dalam perlawanan yang ditangguhkan ke Julai 2017 tersebut.
(ii) Perlawanan yang dihentikan (abandonment)
Perlawanan sudah dimulakan. Senarai kesebelasan utama dan simpanan untuk kedua-dua pasukan sudah dikeluarkan.
Contoh: Perlawanan A vs B telah dilangsungkan pada Mei 2017. Tetapi ia dihentikan pada minit ke-75 kerana (contohnya) hujan lebat. Perlawanan dijadualkan disambung semula (dari minit ke-75) ke tarikh baru, iaitu Julai 2017. Jendela perpindahan pemain pula dibuka pada Jun 2017.
Pasukan A dan B mesti menurunkan pemain sama yang beraksi ketika perlawanan dihentikan pada minit ke-75 pada Mei 2017.
Kelantan vs JDT bukan perlawanan yang dihentikan
Perlawanan Kelantan vs JDT pada 12 April 2017 lepas merupakan perlawanan yang ditangguhkan. Ini bermakna mengikut peraturan liga, JDT BOLEH menurunkan Gabriel Guerra dan S. Kunanlan dalam perlawanan tersebut.
Malah jika ada peminat bola sepak tempatan yang menggunakan logik ‘Kunanlan tak boleh diturunkan kerana sepatutnya digantung selepas menerima kad merah ketika LS1 (vs Kedah)’, ia mudah dipatahkan.
Ini kerana hukuman kepada pemain yang mengutip 2 kad kuning dalam satu perlawanan hanyalah penggantungan 1 perlawanan. Kunanlan sudah pun menjalani hukuman tersebut ketika LS2 (vs FELDA United).
Sementara itu, perlawanan 100Plus Liga Premier antara UiTM vs Negeri Sembilan pada 26 Januari 2017 lepas merupakan contoh perlawanan yang dihentikan.
Selepas 32 minit perlawanan berlangsung, pengadil mengambil keputusan untuk menghentikan perlawanan kerana cuaca buruk.
Perlawanan disambung semula pada 7 Mac 2017, bermula dari minit ke-32.
Mengikut peraturan liga, UiTM dan Negeri Sembilan tak boleh menurunkan:
– pemain yang tak berada dalam start list (kesebelasan utama dan simpanan)
– pemain yang dikeluarkan padang sebelum minit ke-32
– pemain yang digantung pada 26 Januari 2017
– dan pemain yang belum didaftarkan dalam pasukan pada 26 Januari 2017.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan