Ahad, 26 Mac 2017

REALITI DAN HARAPAN TMJ


Sesi wawancara TMJ bersama wartawan Utusan Malaysia

MINGGUAN: Tahniah atas pelantikan sebagai Presiden FAM yang baharu. Apakah perancangan jangka masa pendek Tunku?

TMJ: Perancangan jangka pendek mulai hari ini saya mahu meneliti bajet FAM secara keseluruhan organisasi dan saya perlu mengambil tahu peruntukan tersebut, berapa banyak duit yang kita ada. Itu menjadi keutamaan saya, mengambil berat terhadap bajet. Saya mahu telus terhadap bajet tentang bagaimana dan ke mana duit itu disalurkan. Itu perkara pertama.
Kedua, saya perlu memperbaiki skuad kebangsaan sebanyak yang boleh termasuk pemilihan jurulatih, pemain, ideologi dan falsafah permainan, kaedah latihan dan teknologi untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan kebangsaan untuk jangka masa pendek dan panjang.

Ketiga, saya mahu meningkatkan mutu pengadilan di negara ini dan kerana itu kita perlu melaksanakan teknologi terkini seterusnya mendapatkan tenaga profesional dari luar negara untuk memberi tunjuk ajar kepada pengadil dengan harapan agar kita dapat meningkatkan kualiti pengadil di negara ini.

Terakhir, terus-terang saya katakan saya mahu mengurangkan tenaga kerja di FAM kerana saya memerlukan orang yang boleh memberikan sumbangan kepada organisasi tersebut dan menjaga duit organisasi tersebut. Itu menjadi keutamaan saya sebagai Presiden dan tanggungjawab saya dan saya tidak suka membazir.

Inilah empat perancangan serta-merta dan kita akan mengadakan perancangan seterusnya terhadap pembangunan dan seterusnya.

Apakah yang diharapkan oleh Tunku kepada setiap barisan Exco FAM yang baharu dilantik?

TMJ: Perkara pertama yang saya perlu lakukan saya harus memberitahu kepada barisan Exco untuk mengikut momentum saya sebab saya suka bekerja laju, saya orang muda saya suka setiap perkara dilakukan tepat pada masanya.
Saya fikir, sesiapa yang telah memegang jawatan, mereka perlu mengikut momentum saya dan melaksanakan tugas masing-masing. Saya akan sentiasa memerhati mereka tapi saya tidak bimbang mengenainya kerana saya akan meletakkan setiap orang saya di setiap tempat sama ada Jawatankuasa Tatatertib, Jawatankuasa Disiplin, Bendahari dan juga Jawatankuasa Integriti.

Bagi saya ini adalah komponen penting dalam FAM dan saya perlu memantaunya dan meletakkan orang saya kerana saya sangat praktikal dan saya mahu tahu setiap perkara pada setiap masa.

Bilakah Tunku mahu barisan Exco memulakan tugas di FAM?

TMJ: Mulai esok atau secepat yang boleh. Saya tidak mahu membuang masa. Saya akan memberi nama mereka kepada Setiausaha Agung (Datuk Hamidin Mohd. Amin) dan selepas itu sudah pasti kita perlu melaksanakan tugas dan memastikan setiap perkara berjalan dengan lancar.

Bilakah media boleh mengetahui perancangan Tunku terhadap skuad kebangsaan?

TMJ: Jika anda (media) mahu, hari ini pun boleh. Saya sudah ada Mario Gomez untuk menggantikan tempat Datuk Ong Kim Swee (skuad kebangsaan) dan memasukkan Datuk Kim Swee ke dalam skuad negara Bawah 23, untuk buat masa sekarang. Sudah pasti Gomez akan mempunyai pembantunya sendiri dan saya memberi kebebasan kepadanya untuk membuat keputusan tapi sudah tentu saya akan memantau prestasinya.
Jika saya lihat ada peningkatan dari segi permainan dia (Gomez) boleh dikekalkan jika tidak menepati syarat yang ditetapkan kita harus menukarkannya. Bagaimanapun, untuk membuat pertukaran kita perlu memikirkan baki kontrak jurulatih yang sedia ada dan sudah pasti jika kita tidak mahukan mereka kita perlu membayar pampasan. Saya perlu beri keutamaan kepada duit dahulu. Saya ingin tahu berapa duit yang ada dalam akaun bank FAM. Orang saya akan melakukan audit dan segala-galanya.

Bilakah Mario Gomez akan memulakan tugas?

TMJ: Minggu ini (Gomez) mulakan tugas.

Apakah Tunku pasti dengan keputusan ini dan adakah ia dipersetujui Exco FAM?

TMJ: Saya pasti dengan keputusan ini dan saya rasa mereka juga akan bersetuju dengan keputusan saya ini. Baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan memberi satu kenyataan bahawa dia tak sabar nak bekerjasama dengan saya. Baiklah, saya masih fikirkan bahawa bajet FMLLP akan dibawa ke FAM kerana saya percaya, dia memang mahukan membantu dan menyumbang dalam dari segi tahap antarabangsa, pihak yang bertanggungjawab dalam pembangunan sepatutnya ahli gabungan.

Oleh itu, kalau ahli gabungan tak ada program pembangunan sendiri, mereka perlu berhati-hati dengan saya. Saya perlukan seseorang di atas bahtera saya yang akan bersama menuju ke arah yang penyokong tempatan ini mahukan. Mereka mahukan peningkatan dari segi penstrukturan, sistem. Oleh itu saya rasakan, bajet ini akan diberikan kepada FAM, seterusnya akan diberikan kepada setiap ahli gabungan atau kelab yang menyertai. Jadi mereka akan ada program pembangunan belia, dengan bantuan daripada beberapa jurulatih yang sedia ada dalam Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN). Itu adalah pendapat saya, namun kita akan lihat, kami belum berbincang dengan lebih mendalam tentang perkara ini.

Apa kedudukan masa hadapan FMLLP?

TMJ: Saya akan menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah FMLLP, jadi saya akan periksa kerana saya mahu memeriksa apa niat mereka, apa yang mereka boleh lakukan untuk penambah baikan. Secara jelas, untuk melaksanakan tugasnya dan komitmen dan kita akan lihat apa yang akan berlaku selepas itu, namun saya akan berterus terang, saya akan berlaku jujur dan telus. Dan setiap kali kalau terdapat sesuatu yang baharu, kami tidak akan berdiam diri. Saya sentiasa berhubung rapat dengan penyokong termasuk media.

Status Bernhart yang mengemudi skuad B-22 pada ketika Sukan SEA hampir tiba?

TMJ: Baiklah, saya fikir buat masa ini, saya mahukan pasukan yang berbeza. Saya tidak nampak kami mampu bekerjasama, secara jujurnya. Tetapi saya rasa, dia mempunyai ideologi yang berbeza dan mempunyai cara yang berlainan. Saya mempunyai perbezaan dalam melaksanakan tugas. Jadi, selepas anda semua mahukan saya jadi Presiden FAM, saya rasa semua orang seharusnya menghormati keputusan dan apa yang akan saya buat. Oleh itu, berikan saya ruang untuk saya lakukan sesuatu yang boleh meningkatkan prestasi skuad kebangsaan dalam tempoh masa singkat ini. Sudah tentu sebenarnya kita mempunyai masa yang panjang, yang saya rasa kita perlu membawa masuk jurulatih dari luar ke Malaysia kerana kita perlu mempelajari semampu yang boleh daripada mereka. Jadi kita akan lihat, Kami akan melakukannya.

Bercakap tentang ahli gabungan yang gagal melunaskan gaji pemain, apa pandangan Tunku?

TMJ: Mereka sepatutnya serius, maksud saya mereka tahu tentang apa yang saya tetapkan, dan kalau terjadinya juga masalah sedemikian, orang tersebut tidak harus berada dalam persatuan. Sepatutnya akan ada organisasi lain atau orang lain yang boleh melakukan tugas itu. Kerana kalau sesebuah pasukan itu tidak berupaya membayar gaji, ia jelas menunjukkan bahawa ia memerlukan pengurusan dana. Di mana anda perlu RM10 juta dan anda mula berbelanja RM15 atau RM20 juta, seterusnya menimbulkan hutang. Oleh itu saya perlu mendidik semua ahli gabungan yang terlibat berbelanja mengikut kemampuan.

Apa yang perlu dilakukan untuk pasukan kebangsaan?

TMJ: Pertama kali kita perlu mengubah sistem pasukan kebangsaan, semua orang perlu faham. Kita melihat kemajuan bola sepak di Thailand di mana mereka melaksanakan program mengikut laluan yang betul dan duit merupakan sumber utama diperolehi setiap pasukan yang bertanding menerusi hak penyiaran.
Di sana mereka (Thailand) menumpukan pembangunan pemain-pemain muda berbeza dengan pasukan di Malaysia yang lebih mementingkan pemain import kerana mereka hanya mempunyai perancangan jangka pendek dan mementingkan kejayaan dalam liga.
Saya harap lepas ini, semua pihak mampu memberi kerjasama dengan baik. Saya akan melihat bajet yang ada dan saya akan bercakap dengan semua menteri besar seluruh negeri, agar mereka dapat menyediakan tempat latihan dengan kemudahan yang terkini dan serba lengkap.

Maaf untuk saya bercakap di sini, hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai pusat latihan yang terkini dan lengkap.
Jika kita tidak mulakan perkara itu sekarang, saya tidak rasa kita mampu mencapai kemajuan pada masa akan datang.

Bagaimana status kedudukan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Setiausaha Agung FAM?

TMJ: Ramai orang tanya soalan ini, yang buat kerja adalah presiden, yang kena memastikan semua orang buat kerja adalah presiden dan untuk masa ini Datuk Hamidin kekal sebagai Setiausaha Agung.

Dan jika Datuk Hamidin tak buat kerja dan tidak menepati apa yang diharapkan, minta maaflah Datuk (Hamidin).

Saya hanya ingin seorang yang boleh memberi sumbangan kepada organisasi bola sepak tanah air, selagi boleh membuat kerja, saya tidak melihat ia satu masalah siapa jadi setiausaha agung yang penting orang atas daripada setiausaha agung itu pandai membuat kerja daripada dia.

Sebelum ini Tunku memperjuangkan hak penyiaran kepada setiap pasukan.

TMJ: Sekarang ini saya pun tidak tahu berapa banyak dana yang ada dalam FAM dan FMLLP, saya kena tengok akuan dan tengok keseluruhannya, berapa banyak duit kita ada dan tindakan pertama seperti saya kata sebelum ini, meningkat pemberian hak penyiaran kepada semua pasukan yang bertanding sebagai satu keutamaan.

Dalam masa yang sama mereka perlu memastikan membayar gaji pemain tepat pada masanya dan menumpukan pembangunan bakat muda itu merupakan antara syarat saya.

Terdapat dakwaan berlaku penyelewengan dana dalam FAM yang dilaporkan oleh bekas ketua pemasaran FAM?

TMJ: Saya rasa kalau betul orang itu mahu membantu, apa yang berlaku dalam FAM, maka dia harus berjumpa dengan saya dahulu, dia dedahkan kepada orang ramai pun apa yang mereka boleh buat, dia patut beri pada saya dan biar saya yang uruskan.

Cabaran Tunku Ismail

Apakah cabaran besar yang bakal dihadapi Tunku apabila menduduki kerusi panas ini?

TMJ: Itu adalah penyokong... mereka mahu pasukan Malaysia memenangi piala dunia, dan melihat pasukan negara bertanding dalam kejohanan Piala Dunia secepat mungkin seboleh-bolehnya. Maka kita perlu bekerja ke arah untuk mencapai sasaran itu.

Tetapi kita kena melihat bola sepak kita suram sejak 33 tahun, kita perlu realistik untuk meletakkan sesuatu sasaran, sekarang kita sedang bertanding dalam kelayakan Piala Asia 2019 maka lebih baik kalau kita tidak mampu memenangi Piala Dunia kita mampu menang Piala Asia.

Saya sedar yang saya tidak mampu mencapai permintaan itu, tetapi saya hanya boleh berjanji bahawa akan memberi yang terbaik dan tidak hanya menduduki kerusi ini tanpa melakukan sesuatu, saya akan bersama pengurusan, pemain, jurulatih dan pasukan dengan memberi persembahan terbaik, berjuang untuk negara dan meraih keputusan yang baik.

Kita perlu bersikap realistik dengan sasaran kita, sasaran kita ketika ini adalah meningkatkan sistem perancangan masa panjang untuk kebaikkan bola sepak negara, termasuk pengurusan, stuktur dan polisi.

Itulah perkara pertama yang mahu saya lakukan dan merupakan perancangan masa pendek.

Sudah tentu kita juga mempunyai perancangan jangka panjang.
Sejujurnya untuk saya bercakap di sini, saya menyukai jurulatih Australia bawah 23 tahun, Josep Gombau daripada Barcelona, saya menyukai dia dan sentiasa mengikuti perkembangan dia, saya suka bagaimana dia menukar cara dan ideologi permainan pasukan itu, ini perkara positif.

Saya mempunyai perancangan masa pendek dan panjang, tetapi perkara pertama kita perlu mulakan adalah mengorak satu langkah ke satu langkah.

Saya perlu membersihkan rumah (FAM) saya terlebih dahulu sebelum saya melakukan sesuatu, mungkin mengambil beberapa minggu jika kita berkerja keras.
Perkara pertama yang perlu saya lakukan bukan hanya meningkat stuktur pengurusan, saya perlu menetapkan polisi, turun padang dan memeriksa di mana punca masalah utama, saya sekarang di sini, di tempat yang bukan familar untuk saya.

Saya perlu melakukan banyak kerja dan meluangkan banyak kerja saya di sini tetapi saya tidak boleh memberi masa yang tepat bila tetapi saya pasti akan melakukannya.

Saya harap mampu mencapai kejayaan dalam tempoh masa dua hingga tiga tahun nanti atau cepat daripada itu, Apa yang penting adalah visi saya jelas dan kita perlu bekerja keras untuk mencapainya.

Seperti saya kata sebelum ini, media atau penyokong boleh bertanya saya dan saya akan berkongsi tranformasi yang akan dilakukan. Jadi visi saya amat jelas. Kami akan bekerjasama dan bekerja keras untuk mencapai matlamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan