Jumaat, 10 Mac 2017

Piala FA: JDT waspada ancaman UiTM FC



JOHOR BAHRU: Tiada istilah pasukan lawan yang lemah sebaliknya pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora mengingatkan barisan pemainnya supaya berwaspada dengan ancaman UiTM FC pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok. 

Bagi Mora setiap perlawanan yang diharungi diibaratkan pentas final tatkala aksi pemburuan ke saingan suku akhir amat penting bagi meneruskan cabaran mempertahankan kejuaraan Piala FA yang dimenangi musim lalu. 

Justeru Mora akan menurunkan kesebelasan terbaik tatkala Marcos Antonio, S Kunanlan, Gonzalo Cabrera dan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan yang direhatkan ketika skuad Harimau Selatan menentang kelab dari Myanmar, Magwe FC pada aksi Kumpulan F Piala AFC, Selasa lalu. 

"Dalam bola sepak kita tidak tahu mengukur kemampuan mana-mana pasukan sama ada lemah atau kuat, sebaliknya kita harus menganggap semua pasukan adalah terbaik dan sentiasa mampu beri tentangan sengit. 

"Untuk aksi menentang UiTM FC, saya tetap membuat perancangan rapi memandangkan ia perlawanan kalah mati dan kesempatan beraksi di laman sendiri akan digunakan sepenuhnya memburu kemenangan. 

"Kita tidak leka biarpun sesaat pun dan jika ia berlaku mungkin padah buat kita kerana pasukan lawan hanya menunggu bagi menghukum apa jua kesilapan yang dilakukan malah saya tetap mengekalkan falsafah permainan pada aksi itu nanti," katanya. 

Pada pusingan kedua, skuad Harimau Selatan berjaya menewaskan FELDA United 2-0, pada 14 Februari lalu untuk mara ke pusingan ketiga, walaupun di atas kertas anak didik Mora tampak tidak berdepan masalah untuk menjinakkan skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail namun beliau tetap menyifatkan pasukan itu mampu beri ancaman. 

Mora juga menegaskan keupayaan UiTM FC mencatat keputusan seri 1-1 dengan pendahulu Liga Perdana, Negeri Sembilan bagaikan beri gambaran awal betapa yang mendapat jolokan The Lion Troops itu tidak boleh dianggap lemah. 

"Kita akan berusaha untuk menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit namun saya sekali lagi mengingatkan pemain supaya elak daripada melakukan kesilapan dan sentiasa konsisten dalam perlawanan itu nanti," kata Mora.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan